NOV 3, 2008
Fokus Edisi Dwarna sutera Dari Meja Penulis Tetap : CINTA – Adakah Mungkin Segalanya?
Subuh baru sahaja berlalu. Terlakar warna jingga fajar pada dada langit memberi satu harapan pada kehidupan. Sunyi…hanya detikan jam kedengaran dah pada setiap detikan itu, hati mula sesak dengan pelbagai persoalan, menjerumuskan akal pada kekeliruan yang nyata.
“Apa itu cinta?” “Sejauh mana kebenaran cinta?” “Benarkah cinta memungkinkan semua?”
Jika dilihat, usia sejarah cinta seumur dengan sejarah manusia itu sendiri. Jika di satu tempat ada 1000 manusia maka di situ ada 1000 kisah cinta. Dan jika di muka bumi ini ada lebih 6 bilion manusia, maka sejumlah itulah kisah cinta.
Walau berapa banyak sekalipun suasana cinta yang menjelma, menjadi sebuah syair, drama, filem atau lagu, hakikatnya cinta itu hanya ada dua versi sahaja – cinta nafsu dan cinta Rabbani.
Yang menjadi persoalannya, mampukah kita membezakan yang mana cinta nafsu dan mana cinta Rabbani?Derasnya arus pengaruh kesenian terutamanya, telah mampu menjelmakan cinta nafsu sehingga ia tampil sebagai cinta “suci” yang mesti diperjuangkan, dimenangkan dan diraih seterusnya untuk dinikmati.
Kita seakan lupa pada sejarah. Lupa pada kisah-kisah tragik yang berakhir di hujung pisau atau dalam segelas penawar rumpai. Mereka semua rela diseret dan dijerumuskan ke dalam lubang neraka hanya untuk mengejar salah satu rasa dari sekian banyak rasa yang sementara yang ada di sudut hati kita. Itukah cinta? Berbaloikah?
Cinta memiliki kekuatan luar biasa dan kekuatan cinta mampu menjadikan manusia peribadi yang sangat nekad atau sangat taat. Nekad dalam konteks sangat berani melanggar peraturan-peraturan Allah seperti berkhalwat, berdua-duaan, tidur bersama…atau jika cinta tidak mendapat restu dari orang tua, pasangan akan nekad, lari dari rumah atau berzina. Dan ada juga yang sanggup melakukan perbuatan yang dilaknat Allah iaitu membunuh diri demi cinta.
Cinta memang tak kenal warna, tak kenal baik-buruk, tak kenal rupa dan pertalian darah…memang begitulah adanya. Kerana yang mampu mengenal warna dan baik-buruk adalah pelaku-pelaku cinta yang menggunakan akal fikirannya. Jangan biarkan syaitan berteriak keriangan sambil mengibar-ngibarkan bendera kemenangan kerana berhasil menjerumuskan kita dalam neraka jahannam dengan dalih cinta yang begitu murah nilainya.
Akan tetapi, diakui terkadang kita rasa ingin dicintai dan mencintai. Fitrah setiap makhluk dicipta berpasang-pasangan. Masakan ada bumi tanpa langit. Masakan hadirnya siang tanpa malam. Masakan terciptanya bulan tanpa bintang dan masakan Adam gembira tanpa Hawa. Hakikatnya, ia hanya sementara. Lumrah alam cinta, manusia akan pergi. Cinta bunga akan layu. Hanya cintaNya yang hakiki.Namun, kita akan tetap berdegil merebut cinta manusia. Ghairah mendamba cinta dari bunga, tetapi hambar dalam meraih cintaNya. Rela kita menjerumuskan diri di lembah cinta, rela disakiti demi kebahagian sekelip mata, rela menjadi hamba cinta dari mendamba kasihNya.
Demi cinta…..
Betapa daifnya kita dalam menilai sebenar erti cinta. Betapa kerdilnya kita dalam mencari cinta sejati lagi hakiki.
Wahai cinta Agung,bila diri ini mahu diketuk…
Apa yang disedari ketika ini…menyentuh jiwa yang punya rasa cinta, terkeliru antara rupa-rupa dan pura-pura…
Ya Allah, kurniakan cinta kami padaMu dan rasulMu melebihi segala cinta yang ada di dunia ini. Hanya insan yang bergelar isteri yang tersayang….
ky said,
November 3, 2008 at 1:54 pm
wah-wah menarik betul artikel ni…
anda semua patut membaca dan menghayatinya…